Oleh: MUHD AZMI TALIB
Koresponden AKADEMI DEBAT
Menyingkap usia pertandingan debat 2008 yang akan berlangsung bermula 28 hb November ini nanti maka genaplah usia 13 tahun acara pertandingan debat BM antara IPTA yang paling berprestij di negara ini. Sedar atau tidak walaupun sudah 13 tahun usia pertandingan ini yang berubah hanyalah dari segi bilangan penyertaannya tetapi tidak pada kualitinya. Malah tidak keterlaluan untuk dilabelkan bahawa kualiti debat mahasiswa-mahasiswi sekarang agak jauh jika ingin dibandingkan dengan apa yang telah dipertontonkan oleh abang-abang dan kakak-kakak mereka sebelum ini. Persoalan yang menjadi isu hangat setiap kali pertandingan debat Piala DiRaja diadakan saban tahun.
Sudah banyak artikel yang ditulis berkenaan perkara ini dan yang pasti perubahan masih gagal dilihat dari kaca mata peminat debat seantero negara. Semua perkara telah dikupas sama ada isu pengetahuan pendebat yang nampaknya tidak berkembang malah semakin cetek, keupayaan untuk mengolah , membawa atau membangkang sesuatu usul yang diberikan semakin goyah dan tidak menunjukkan kematangan mereka untuk berhujah, tidak kira sama ada atas kapasiti kerajaan mahupun pembangkang. Jadi dimanakah silapnya??
Artikel ini tidak akan mengulangi kupasan perkara-perkara yang dinyatakan diatas kerana itu sudah barang pasti akan membuang masa penulis mahupun pembaca. Sebaliknya penulis melihat bahawa terdapat faktor lain yang perlu diambil kira untuk memperbaiki mutu perdebatan didalam pertandingan debat Piala Diraja tahun ini.
MINAT
Pertama, MINAT terhadap debat...rata-rata jika ditanya kepada jagoaan IPTA yang terpilih mewakili universiti.... mereka akan menyatakan dengan bangganya bahawa mereka berdebat kerana mereka minat pada debat. Tetapi tidak ramai yang benar-benar memahami apa itu MINAT kepada Debat. Debat bukanlah medan untuk menunjukkan kepetahan mahasiswa menyusun kata-kata dan lakonan berskrip semata-mata. Debat juga bukanlah satu seni untuk menunjukkan kehebatan seni tarian dan lenggok badan kekiri dan kekanan serta memek muka yang penuh penghayatan untuk mendapat anugerah pelakon terbaik. MINAT terhadap debat menuntut mahasiswa untuk terus mempelajari dan mendalami seninya yang tersendiri. Seni yang tidak hanya diukur ketika diatas pentas semata, tidak juga diukur ketika perbincangan sebelum memasuki dewan pertandingan.Ianya merangkumi pelbagai aspek bermula daripada MINAT kepada ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai aspek dan skop, MINAT untuk berfikir secara kritis dan analitik keatas semua isu di sekeliling tidak kira isu sejarah hinggalah isu semasa terkini, MINAT untuk menambahkan perbendaharaan kata dan mencantikkan bahasa ketika berhujah dan bukan sekadar mencedok pantun-pantin dan syair gurindam serangkap dua ketika berhujah demi meyakinkan penonton dan para hakim dan MINAT untuk melihat bahawa segala hujah mereka tidak akan dapat disangkal lagi kerana telah dikemukakan dengan segala fakta dan contoh yang tepat dan konklusif sehingga membuatkan pihak lawan dan mungkin seluruh dewan terdiam dan membenarkan apa sahaja yang dihujahkan.
DISIPLIN
Kedua, DISIPLIN...apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini memerlukan disiplin hatta untuk makan, minum, tidur sekalipun. Begitulah jua halnya dengan debat, menceburi bidang debat memerlukan DISIPLIN yang amat tinggi. DISIPLIN ketika sesi latihan, DISIPLIN untuk menerima teguran dan melakukan apa sahaja yang dituntut oleh para jurulatih demi kebaikan pendebat (selagi mana tidak ditegah oleh syara' dan batas tatasusila kemanusiaan ..)DISIPLIN ketika pertandingan hinggalah DISIPLIN setelah bergelar pendebat ulung.
DISIPLIN juga perlu dilihat daripada aspek pemilihan pasukan, jurulatih atau sesiapa sahaja yang diamanahkan untuk memilih pasukan universiti mereka haruslah memilih berdasarkan merit pendebat dan bukannya sekadar rupa paras ataupun faktor kroni dan sebagainya kerana yang akan dipertaruhkan adalah nama baik universiti yang akan diadili oleh penonton dan peminat debat selruh negara.
KESUNGGUHAN
Hasil daripada MINAT + DISIPLIN ini maka wujudnya KESUNGGUHAN. Kita boleh melihat betapa bersungguhnya pendebat-pendebat lagenda dahulu dan sekarang terutama ketika mereka mengemukakan hujah mereka. Mereka tidak mudah berpuas hati dengan apa yang diutarakan bermula daripada saat pertama loceng dibunyikan hinggalah saat terakhir masa yang telah dibenarkan. Perbezaan yang ketara jika kita melihat pendebat-pendebat yang tidak mempunyai KESUNGGUHAN ini berdebat. Mereka akan mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka, malah ada ynag berdebat hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Apabila tamat giliran mereka, mereka hanya akan duduk diam dan tersenyum sumbing, ada yang sibuk bergaya untuk gambar dalam majalah universiti mereka, tidak kurang yang terdiam kerana terpegun dengan pihak lawan. Akibatnya,apabila KESUNGGUHAN sudah tiada, debat itu akan menjadi satu pertunjukan sarkis ibarat melihat burung kakak tua bercakap semata-mata...itu bukanlah DEBAT!! Harus di ingat, kita mahu melihat bagaimana sesuatu usul itu diperdebatkan dan bukannnya melihat kalian bertutur bak penglipur lara di atas pentas. Pendebat adalah dipilih untuk memperdebatkan sesuatu usul dan mereka membawa panji universiti masing-masing . Penonton mahu melihat univesiti mana yang mampu menunjukkan kematangan berhujah atas sesuatu usul dan bukannya untuk melihat mereka berkokok dan berjoget semata-mata.
Oleh yang demikian , tidak timbul soal pasukan universiti mana yang menjadi pasukan pilihan kerana kalian adalah sama, semuanya adalah mahasiswa universiti maka tunjukkanlah bahawa kalian layak untuk mewakili universiti masing-masing.Percayalah bahawa tanpa MINAT, DISIPLIN dan KESUNGGUHAN ini, adalah lebih baik kalian menarik diri dan tidak membuang masa dan wang ringgit universiti masing-masing untuk sekadar hadir memenuhi kuota peserta di dalam pertandingan debat Piala Di Raja 2008 ini...Apa gunanya kalian menyertai debat kalau sekadar akan memalukan diri sendiri dan universiti masing-masing. Hanya yang betul-betul layak bergelar PENDEBAT sahaja yang layak untuk menyertai pertandingan ini....
Akhir kata, ingatlah bahwa PENDEBAT sebenar akan dikagumi bermula daripada perkataan pertama hinggalah perkataan terakhir yang diucapkan mereka...ukurlah siapa diri anda...SEMOGA BERJAYA UNTUK SEMUA.
Monday, November 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment